Senin, 21 September 2015

Perempuan dalam prespektif islam



Perempuan Dalam Prespektif Islam
Pelbagai persoalan tentang wanita sering dikemukakan dan diulas serta menjadi isu utama perbincangan sejak berdekad yang lalu. Malah perdebatan hal-hal yang berkaitan wanita semakin hangat diperkatakan seiring dengan perkembangan zaman. Sungguh hebat seorang wanita, nama dan statusnya juga turut tertulis di dalam al-Quran serta sering disebut dalam lipatan sejarah.
Khadijah isteri Rasulullah saw., Maryam ibu Isa as., Asiah isteri Firaun, Khaulah al-Azwar Penghayun Pedang Perang, Zainab al-Ghazali, dan ramai lagi tokoh wanita Islam yang gemilang. Termasuk juga wanita hebat yang melahirkan dan membesarkan kita.
Manusia yang mempercayai hakikat kehidupan, penciptaan alam, SUNNATULLAH, akan tahu dan faham bagaimana hakikat kejadian seorang wanita, penghidupannya, dan ke mana kesudahannya selepas kehidupan ini.
Lantaran itu, wanita seharusnya dan wajib tahu hakikat kejadian hidupnya, serta peranan dan tanggungjawabnya dalam kehidupan.
At-Tin
“Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus.”
(At-Tin, 95:4-6)
Wanita Pada Pandangan Barat
Peradaban Barat telah melabelkan wanita sebagai jantina yang berlawanan dengan lelaki yang lebih dikenali sebagai golongan yang menggoda, menawan, dan merangsang naluri jantina yang berlawanan dengannya.
Apa yang mereka inginkan dari wanita adalah sentiasa menjadi perhiasan mata, hati dan jiwa. Mereka hanyalah golongan pemuas nafsu lelaki.
Doktrin yang ditanam oleh Barat inilah yang menjadikan wanita pada hari ini sentiasa berlumba-lumba ke arah kecantikan luaran, perebutan cinta murahan, malah sehingga sanggup menggadaikan diri sendiri.
Perlabelan yang telah ditanda hargakan itu menyebabkan maruah dan kedudukan wanita berada di tangga “TOP WORST”.
Malah golongan wanita ini diberikan penghargaan dan pingat tersendiri dalam menayangkan kecantikan, kemulusan dan keghairahan masing-masing kepada suatu benda yang tidak bernyawa seperti dalam mempromosikan sesuatu barang.
Wanita dijadikan sebagai model untuk melariskan barangan jualan daripada barang-barang kegunaan wanita sehinggalah kepada pengiklanan jualan kenderaan.
Rendahnya martabat wanita seolah-olah sama nilai dengan barangan yang diperdagangkan.
Fenomena eksploitasi wanita ini semakin meningkat dengan jajaran masa yang mendorong wanita membebaskan diri dari tanggungjawab asal hakikat penciptaannya iaitu sebagai isteri, ibu, pendidik generasi pelapis, serta sayap kiri perjuangan suami.
Eksploitasi ini berlaku sehingga wanita akhirnya telah memasuki “alam” lelaki yang bertentangan dengan fitrah asal kejadiannya.
Ahli Falsafah Socrates pernah berkata :
Kewujudan wanita menjadi punca utama krisis dan kemerosotan dunia. Mereka ibarat sebatang pokok beracun. Di luar nampak cantik, tetapi sebaik sahaja seekor burung memakannya, ia mati pada masa itu juga.
(Dipetik daripada buku: Apa kata Islam Mengenai Wanita Berpolitik)
Wanita Pada Pandangan Islam
Islam telah meletakkan maruah dan kedudukan wanita pada tempat yang mulia. Sungguh bertentangan dengan nilai dan eksploitasi yang ditunjukan oleh Barat.
Wanita pada sudut dan pandangan Islam terletak pada kedudukan yang tinggi, asli lagi harmoni. Maruah dan kehormatannya ditatang dan dijaga sebaiknya ibarat emas permata dan segala perhiasan yang tidak ternilai harganya.
Allah telah mewujudkan peranan antara lelaki dan wanita yang berbeza-beza namun kedua-duanya seiring penting. Tidak berperanan salah satu maka pincanglah semua.
Dalam pembentukan sebuah institusi kekeluargaan, tidak akan sempurna tanpa kedua-dua jantina ini.  Pembentukan masyarakat dan pembinaan peradaban Islam memerlukan wanita tampil menyumbangkan tenaga dan memainkan peranan sebagai sayap kiri lelaki. Tampil memimpin golongan wanita, turut memerah otak memikirkan kelangsungan strategi dakwah, mendidik generasi baru Islam malah turut serta menghayun pedang perjuangan.
Allah tidak memandang wanita dengan pandangan yang berat sebelah. Buktinya adalah, di dalam surah Al-Ahzab ayat 35.
al-Ahzab
“Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, Allah menyediakan untuk mereka ampunan yang besar.”
Kewujudan artikel ini sebenarnya untuk menangkis beberapa pandangan dan persepsi kuno mengenai wanita.
Sehinggalah pada hari ini, doktrin yang ditanam oleh Barat tentang wanita adalah selemah-lemah kaum masih lagi bertapak di pemikiran. Pemikiran inilah yang menyekat dan membataskan kemampuan wanita secara halus.
Hakikatnya, wanita bukanlah ingin menyaingi lelaki. Wanita juga tidak perlu menukar watak menjadi tomboy untuk membuktikan kekuatan dan ketabahannya. Wanita juga tidak perlu menjadi ganas semata-mata tidak mahu dipandang lemah.
Wanita insan tabah. Dijadikan oleh Allah swt. dengan sifat yang lemah lembut. Sesuai dengan peranannya sebagai pendidik anak-anak.
Disaat terbentuknya bayi di dalam rahim dan kemudian dikandung selama sembilan bulan 10 hari, seterusnya kelahiran bayi telah membuktikan kehebatan dan ketabahan seorang wanita. Belum ditambah dengan kesabarannya dalam proses menyusukan dan mendidik anak sehinggalah mereka dewasa dan mampu berfikir dan berdikari sendiri.
Fitrah seorang wanita untuk memiliki sifat lemah lembut. Lemah lembut merupakan kekuatan kaum wanita. Wanita yang memiliki sifat inilah yang dimaksudkan dalam peribahasa Melayuyang berbunyi “Tangan Yang Menghayun Buaian Mampu Menggoncang Dunia”.
Andalah apa yang anda fikirkan. Kuat atau lemahnya anda adalah dari apa yang anda fikirkan. Peganglah hati supaya anda tidak mudah merasa lemah. Paculah kekuatan diri dengan teguhkan kebergantungan pada Allah, kerana kekuatan hati dan kecekalan jiwa datang daripada-Nya.